Di Bawah Teduhan MITSAQAN GHALIZA


Subhanallah.
Alhamdulillah.
Allahu Akbar.
Genap sebulan sejak saat itu. Detik itu.
Tidak tergambar perasaan aku pada saat itu. Bercampur baur perasaan. Ya, mungkin itulah perasaan kita semua tatkala saat yang kita nanti-nantikan setelah sekian lama akhirnya menjadi kenyataan.
Syukur aku panjatkan pada Allah atas nikmat ini. Nikmat yang dinanti setiap jiwa seorang lelaki. Nikmat ingin memiliki seorang peneman hidup yang setia. Nikmat penyatuan dua jiwa, dua sifat dan dua jarak yang berbeza agar menjadi satu.
Tidak aku nafikan, sudah lama aku ingin menikah. Jika seingat aku, semasa tahun 3 di universiti lagi aku telah pun memasang niat yang aku ingin menikah seusai pengajian. Melihat kawan-kawan kahwin muda, mula lah aku pun nak ikut juga jejak langkah mereka. Nak juga membina masjid di awal usia muda. Ini bukan menggatal!, tapi serius.
Namun, aku hanya mampu merancang dan meletakkan secebis hasrat. Kerana aku tahu, akhirnya Allah tahu mana yang terbaik untuk aku dalam hidup ini. Itulah tarbiyah dari Allah.
Dalam ‘post’ ini, ada kata-kata yang telah lama aku tulis dan dulu aku nekad, kata-kata itu aku akan tujukan buat yang bertuah bertakhta di hati aku. =)
Merisik khabar
Aku tahu, saat itu umur aku sudah pun mencecah 27 tahun. Tahun yang paling baik untuk mendirikan rumahtangga. Klise. Tipulah kalau aku langsung tak fikir soal kahwin sebab aku juga tahu, kahwin itu satu sunnah yang besar sebagai umat Rasulullah. Tak boleh untuk aku katakan yang aku tak mahu kahwin sebab Rasulullah pun berkahwin. Tak boleh aku nak guna hujah Imam Nawawi dan Syed Qutb pun tak kahwin. Cannot!.
Ceritanya bermula.
Sepanjang proses usaha untuk aku mendirikan rumahtangga, memang ada ujian. Secara ringkas, aku pernah bertaaruf dengan seorang ukhti sebelum isteriku sekarang ni. Dan ditakdirkan Allah, ianya tak kekal lama. Memang hati aku sedikit tersentak. Fikiran aku berada dalam ruangan ketidaksangkaan. Tertanya-tanya, macam mana lah ukhti tu boleh ‘demand’ sebegitu!.
Taaruf dan proses itu terkandas di tengah jalan. Sehebat mana pun akhowat itu dalam dakwahnya, kadang-kadang datang part kehidupan yang realiti, mereka dah tak rasional. Mula menjadikan dunia sebagai kayu pengukur.
Aku anggap dia bukan jodoh aku yang terbaik. Di sebalik ujian itu, aku yakin Allah telah pun menyediakan takdir yang terbaik untuk aku di kemudian hari.
Lama juga aku pending pasal kahwin. Hampir 2 tahun. Aku nekad malas dah nak fikir pasal kahwin. Biar fokus kepada perjuangan saja. Ya, memang betul-betul fokus. Segala persediaan perkahwinan aku, melebur gitu saja. Segala wang ringgit, banyak aku habiskan untuk program adik-adik, bantu kewangan ikhwah. Aku harap, Allah menilai semua itu sebagai amal soleh aku.
Aku kata kat diri aku, “Ahhhh, malas lah fikir pasal kahwin dah!. Biar Allah nak bagi siapa, bagi je la. Aku terima saja!.”
Namun, setelah proses aku yang tak jadi tu, aku tak pernah putus berdoa kepada Allah. Doa agar Allah mengurniakan aku seorang insan yang memudahkan segala urusan. Itu saja doaku. Atau kata lainnya, insan yang faham hakikat Baitul Muslim. Yang menjadikan dakwah dan tarbiyah sebagai saham untuk meniti ke syurgaNYA.
Penantian demi penantian yang penuh sabar, sepertinya Allah sudah menjawab doaku.
Selang 2 tahun, datang waksep dari seorang akh yang saya segani. Akhi Q.
“Salam akhi, enta sudah ada calon?. Kalau tak ada, ana nak beri adik ana pada enta?.”
Fuhhhh.
Astaghfirullah3x.
Tiga kali juga lah kan aku beristighfar.
“Maaf akhi. Ana masih belum bersedia. Masih belum stable ana ni.”
Aku nampak kesungguhan akhi Q ni. Beberapa kali juga aku mengatakan aku malas fikir pasal kahwin setelah apa yang berlaku apatah lagi aku tiada kerjaya yang solid seperti yang diidamkan ramai wanita di luar sana. Akhowat pun aku tahu, mesti pandang juga harta. Manusia.
Akhi Q ini berkali-kali juga berwaksep dan meyakinkan aku. Sehingga satu saat itu terdetik dalam jiwa aku, mungkin ini jawapan Allah kepada doa yang tidak pernah putus aku lafazkan sejak akhir tahun 2015.
“Inshaa Allah, ana boleh proceed.”
Itulah waksep aku menyatakan aku setuju untuk bertaaruf dengan adiknya.
Saat Perkenalan Bermula
Waktu itu. Petang yang hening. Di rumah warden. SMAP Bentong.
Berbekalkan air oren Sunquick. Seolah menjadi tabir antara aku dan zaujah aku masa taaruf dulu. Dia yang berbaju t-shirt muslimah oren, aku pula berbaju kemeja lengan panjang berwarna kelabu.
Bismillah.
Proses taaruf pun bermula. Kata aluan dimulai oleh abangnya, akhi Q. Menerangkan tujuan taaruf, memasang mindset kepada kami tentang fasa taaruf dan apa yang perlu dibincangkan.
Aku nekad, untuk taaruf kali ini, aku tak mahu sangat tanya tentang urusan dakwahnya. Cukuplah, borang Baitul Muslim menceritakan amal dan komitmennya. Waktu taaruf kalau boleh aku nak bincang tentang realiti kehidupan berumahtangga je. Mana tahu dia ada ekpektasi yang tinggi ke kat aku. Setinggi gunung Kinabalu ke. Pencakar langit ke. KLCC ke. Siapa tahu.
Perkenalan diri, keluarga, perancangan masa depan dan sebagainya dibincangkan. Perbincangan yang alhamdulillah, sejahtera. Tak ada soalan yang pelik-pelik menunjukkan high expectation baik dari pihak aku atau dia. Saat itu aku juga tahu, dalam dunia, tak ada manusia yang perfect. Cukuplah syarat minima yang aku letak, dia mestilah seorang yang mengikuti sistem tarbiyah. Kerana, aku tidak mahu timbul masalah dan menyukarkan aku di kemudian hari.
Kerana tarbiyah itu adalah kehidupan aku. Kerana dari tarbiyah aku memulai kehidupan sebagai hambaNYA dan dari tarbiyah juga aku peroleh ketenangan. Ahhhhhh, nikmat tak terhitung!.
Selesai sudah proses taaruf. Aku waktu taaruf tu dah lah selesema. Nasib baik masa saat perbincangan, tak jatuh hingus. Kalau tak, Ya Allahhhh, malunya!. Mesti kena rejek terus. Huhu. Masing-masing segan. Zaujah aku pandang je bawah. Aku pula ada la jeling hujung mata je. Tak boleh pandang sangat. Jaga hati!. Hehe.
Nasib baik lepas isyak’ ada spageti!. Kak Y (zaujah akhi Q) yang buat!. Punya lah lama aku tak makan spageti. Nasib baik tak sakit perut!.
Setelah itu, aku pulang dan teruskan berdoa pada Allah.
“Ya Allah, jika dia yang terbaik untukku, maka kau panjangkan hubungan ini hingga saat akad dilafazkan.”
Doa yang selalu aku amalkan sejak saat taaruf.
Selepas taaruf tu, aku serah bulat-bulat kepada Allah. Aku cakap pada diri, “apa nak jadi, jadi lah. Aku redha”. Aku tahu status aku waktu itu bukanlah satu status yang menjadi idaman setiap wanita. Aku waktu tu tengah struggle siapkan thesis akhir untuk peringkat sarjana. Wang simpanan untuk nikah pun tak ada. Sebab itu aku serah ke Allah saja semuanya.
Aku dah ada mindset dah, “kalau dia rejek aku ni aku redha”. Aku akur akan ketentuanNYA. Macam aku tak biasa pula. Cukuplah sesi taaruf pertama aku dengan orang lain yang tak menjadi tu membuatkan aku bermuhasabah. Betapa walau kita yakin bahawa dia jodoh kita, tapi andai tidak diizinkan olehNYA, buat lah apa pun, pasti tak kesampaian juga.
Sedih.
Duka.
Terkejut.
Kecewa.
Moga perasaan itu semua menjadi tanda kasihnya Alah pada aku.
Lalu aku menutupi segenap rasa itu dengan ungkapan, “Aku redha pada ketentuanmu, Ya Allah.
16 Disember 2017
Pertunangan aku. Saat aku bertemu wajah dengan keluarga mertua. Saat kaki menjejak dengan perasaan yang bercampur-baur.
Malam itu.
Kaki kanan aku melangkah masuk ke rumah mertua. Sejuk. Dingin. Hening suasana malam ditemani cengkerik yang berlagu. Ya, tak lain, tak bukan. Itu lah cara mereka berzikir kepada Allah. Mengingati segala keagungannya dengan bahasa mereka yang tidak kita fahami. Yang susah nak berzikirnya, kita.
Orang kampung setia menanti. Memandang wajah orang kampung satu persatu, nampak gaya ingin dipercepatkan saja urusan pertunangan ni. Nampak jelas wajah kelaparan seorang demi seorang. Tunggu masa saja nak menyumbat segala jenis makanan yang terhidang ke dalam perut yang merayu-rayu kelaparan.
Masa bertunang tu, aku tak tengok langsung muka dia. Aku memang penyegan orangnya. Ehem. Kalau masa kat universiti dulu, cakap dengan perempuan pun, kadang pandang bawah, kadang pandang kat tempat lain. Malu nak bertentang mata.
Jujur aku cakap, waktu itu aku berdebar gila. Tak tahu nak cakap macam mana. Ye lah. Penuh orang kampung kat ruang tamu rumah dia. Sebab jangkaan aku, biasanya proses bertunang ni melibatkan ahli keluarga saja supaya jika apa-apa berlaku, aib terjaga dan tak lah disebar-sebar oleh orang kampung.
Umi abi tengah berbincang soal tarikh pernikahan dengan famili dia. Benda yang paling utama adalah wang hantaran dan maskahwin. Aku pula duduk kat bawah. Duduk borak-borak dengan adik lelaki dia. Borak macam biasa je, tapi hati dub dab dub dab memikirkan, benda lah yang dibincangkan mereka. Mana lah tahu letak hantaran 20k ke. Menggaru kepala jugak aku.
Apa-apa pun, aku berserah saja pada Tuhan yang menguasai segala urusan hambaNYA.
Alhamdulillah, majlis selesai dengan jayanya dan hasil perbincangan pun amat memudahkan. Umi abi nampak lega. Wajah pun sejahtera saja.
17 Mac 2018
Inilah tarikh keramat yang telah mengubah hidup aku. Tarikh yang telah ditakdirkan oleh Allah untuk aku menerima mitsaqan ghaliza ini. Tarikh yang membuat segala macam rasa wujud dalam jiwa. Tarikh yang membuat airmata aku hampir berjatuhan saat qabul dilafazkan dihadapan ayahnya.
Terima kasih Allah atas segala nikmatMU yang telah lama aku nantikan ini. Penuh sabar.
Banyak sangat perkara yang berlaku tanpa aku duga. Entah kenapa begitu. Aku juga tidak terfikir kenapa begitu cepat masa berlalu. Sehingga seolah-olah aku merasa aku sedang berada dalam dunia yang membuat segala khayalan menjadi nyata.
“Saya terima akan nikahnya dengan mas kahwinnya yang tersebut itu.”
Inilah lafaz qabul yang telah aku ungkapkannya dengan sekali lafaz. Nasib baik tok kadi bagi tengok teks ucapan. Kalau tak tengok, tak pasti lah aku berapa kali lafaz pula. Benda mudah saja sepatutnya, tapi entahlah. Ikut je la kata tok kadi. Jangan melawan!. Nanti tak nikah pulak aku malam tu. Dah lah sampai lewat kan?. Huhu.
Alhamdulilllah.
Selepas akad nikah,
segala debaran sudah kian menghilang, peluh juga sudah mula mengering, takungan airmata sepertinya sudah berlaku penyejatan dengan begitu pantas dan efisien sekali. Hehe.
Aku berjalan menuju ke arah isteriku. Tuan puteri.
Bekas cincin dicapai. Aku membuka bekas cincin dan mengambil cincin yang terletak rapi dalam bekas.
Dengan lafaz bismillah, aku mencapai tangan isteriku lalu aku menyarung cincin ke jarinya. Menahan sebak. Aku sengaja buat kuat. Acah-acah kuat. Buat pandang-pandang lain. Tak pandang sangat wajah isteri aku tu. Takut tumpah je air kat mata kat atas kotak cincin itu. Huhu.
Sekeping hati bermonolog sendirian mengungkap rasa ta’zim kepada Allah atas segala keagungan dan rahmatNYA, dilancarkan juga perjalanan akad nikah aku malam itu.
Aku tengok muka masing-masing dah lapar. Mana tak nya, ada kambing golek kat bawah. Siapa tak terliur. Tu pun banyak lebih lagi. Katanya, itu antara kambing golek yang tersedap di kawasan Kuala Berang tu. Aku makan juga, tapi cover-cover lah. Depan isteri tak boleh tunjuk sangat laparnya. Segan waktu tu. Makan pun cover-cover je.
Mitsaqan Ghaliza
“Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir” (QS. Ar-Ruum 21)
Ketika muqaddimah sebelum khutbah nikah, sejujurnya, aku tak dapat nak fokus sangat butir bicara tok kadi. Minda aku dah menerawang jauh.
Memikirkan soal tanggungjawab. Memikirkan soal amanah yang bakal Allah anugerahkan buatku. Berdebar. Lidah rasa kelat. Bibir kekeringan.
Kerana aku begitu mengerti tentang yang dikatakan Mitsaqan Ghaliza. Perjanjian yang berat, kuat!.
Dalam Al-Quran, hanya 3 kali Allah sebut tentang ‘mitsaqan ghaliza’ ini iaitu ketika perjanjian Allah dengan kaum Bani Israil dan pengangkatan bukit Tursina, perjanjian Allah dengan Ulul Azmi, Nabi-nabi pilihan di antara para Nabi, dan perjanjian PERNIKAHAN!. Janji antara dua jiwa dengan Allah Azza Wajalla.
Kerana perjanjian ini adalah suatu amanah yang sangat berat. Amanah yang akan dipertanggungjawabkan. Amanah yang akan digalas hingga bertemu dengan Rabb.
وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا

“Bagaimana kamu akan mengambilnya kembali, padahal sebagian kamu telah bergaul (bercampur) dengan yang lain sebagai suami-isteri. Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat.” [An Nisa: 21]
Mitsaqan Ghalizha adalah komitmen yang bukan boleh dibuat main. Ia sebuah ikatan janji suci yang melibatkan bukan hanya suami isteri tapi juga Allah. Kerana, ikatan ini memberi kesan yang besar kepada hidup kita baik luar atau dalam, baik dunia atau akhirat.
Ketika Ibnu Katsir menafsirkan ‘word’ Mitsaqan Ghalizha dalam Surah An-Nisa ayat 21 itu, dia mengutip sebuah hadis sahih dari Jabir dalam Kitab Sahih Muslim yang mengatakan bahawa ketika seorang lelaki mengambil perempuan dari orang tuanya untuk dinikahi, ini bermakna dia telah melakukan perjanjian atas nama Allah sebagaimana Dia telah menghalalkannya dengan kalimah Allah.
Allahu Akbar!.
Moga Allah titipkan seberkas kekuatan untuk aku menggalas amanah cinta ini.
Nota Cinta Buat Kamu, Isteriku
Sekali lagi aku rafa’kan syukur yang tak terhingga kepada Rabb, Malik, Ilah, atas segala nikmat yang selama ini diberi kepadaku tanpa meminta bayaran. Syukur juga aku panjatkan kepadaNYA atas segala rasa cinta yang telah wujud ini. Rasa yang cukup menyentuh hati seolah-olah ia membawa aku semakin mendekat kepadaNYA. Selawat dan salam juga kepada para Nabi dan Rasul atas contoh teladan yang telah mereka qudwahkan dalam mencintai perjuangan ini.
Sebagaimana perasaan saat selepas kita taaruf, aku merasai betapa seolah Allah telah menyirami hati aku dengan siraman cinta. Rasa yang hadir itu tidak seperti sebelumnya. Seolah ada petanda bahawa kamulah yang bakal menetap di ruangan hatiku.
Sebagaimana aku merasai nikmat cinta itu adalah anugerah Ilahi, seperti itu juga aku merasai kehadiranmu dalam teduhan hidupku adalah sebuah anugerah yang tidak terkira indahnya.
Isteriku,
Seperti yang telah kita imani dan fahami, ikatan kita ini bukan sekadar potret cinta semata, tapi ia adalah perjanjian yang sangat kuat antara kita dengan Allah bahawa setelah sekian lama kita mengimani bahawa ibadah dan khalifah itu adalah tujuan hidup kita dan akan kita bina bersama. Lalu yang kita harapkan, dari keimanan itu akan menuntun kita jalan ke syurgaNYA. Berpimpin tangan menuju ke sana.
Memang rasa sebenar tidak mampu untuk aku nukilkan semuanya di sini. Cukuplah ini cuma menjadi memori dari secebis rasa cinta itu.
Isteriku,
Mari kita zahirkan rasa syukur ini dengan amal-amal kita. Baik tarbiyah dzatiyah atau amal dakwiyah. Sebelum kita cinta kita diikat, kita juga telah pun berjanji dengan Allah untuk terus memacu amanah dakwah ini. Menjadi dakwah sebagai cinta pertama. Menjadikan sebagai saham dan bekal kita ke syurga. Melahirkan rijal-rijal agamaNYA. Moga dengan ikatan pernikahan ini melajukan kita dan menguatkan jiwa tsabat kita.
Isteriku,
Cukuplah ikatan kita ini membuat aku merasa hebatnya kuasa Allah menentukan segala urusanku. Lain yang aku jangka dan rancang, lain pula yang Allah anugerahkan pada aku. Aku tahu Allah ingin mengajarku erti redha dan sabar. Cukuplah saat ini aku merasakan betapa Allah telah pun mengurniakan insan yang tepat dalam hidupku. Menenangkan. Qurrata ‘Ayun.
Allahu Akbar.
Aku anggap semua yang berlaku secara tidak di sangka-sangka. Itulah hebatnya jodoh yang Allah susun untukku. Aku tidak pernah mengenali zaujahku sebelum ini, namun dengan kehebatan Allah, telah Allah titipkan seorang isteri sebagai peneman hingga akhirnya.
Benarlah. Jodoh ini sudah ditetapkan. Namun, ia tetap menjadi rahsia Allah. Bila dan dengan siapa itu hanya Allah yang tahu. Kita?. Hanya mampu berusaha dan berdoa agar diberikan yang terbaik.
Ketahuilah isteriku, engkaulah cinta yang telah Allah anugerahkan kepadaku untuk menyempurnakan separuh deen aku lantas melengkapi satu ruang yang terkurang dari hati ini. Ruang untuk cintamu!.

Ya Allah, berkatilah rumahtangga islami ini hingga akhirnya!.
#KisahCintaIhsanQamilah 
#MitsaqanGhaliza
#MenujuSyurgaNYA

Ulasan