:: Hayati Nikmat Padamu ::




Pehhh.
Pehhh.
Pehhh.
Boleh tahan lama juga lah aku tak meng’hupdate’ blog ni. Asyik hupdate status je. Dah setahun lebih kot. Astaghfirullah. Nak kata tak ada masa?. Ada je masa sebenarnya. Cuma, biasalah. Nak menulis ni bukan boleh main tulis je. Idea tu dia tak mai macam tu saja. Ada masa-masa idea tu akan menerjah hati dan minda. Ada masa kena lepak kat tepi pantai atas batu, baru ilham mencurah-curah ke ladang gandum. Eh.
Boleh tahan lama juga lah tak buat apa-apa coretan di blog ni. Sesekali terasa rindu nak menulis, tapi apakan daya, ada perkara yang lebih utama untuk saya buat. Sekarang je rasa macam ada masa sikit.
Biasa lah tu. Bila kita sedang cuba dan bertatih-tatih mengajak dan membimbing manusia ke jalan Allah, tidak cukup sekadar di hadapan papan kekunci dan laptop saja. Ia perlu dibumikan di medan amal kita..Susah ke, senang ke, pokoknya(awat rasa macam indon pula nih), di medan!.
Renung nikmat Tuhanmu itu
Bila kita renung kembali, muhasabah kembali,
Sejauh mana syukur kita pada Tuhan?
Sekuat mana syukur kita kepada yang menciptakan kita?.
Subhanallah!.
Mungkin jika ditanyakan kepada orang kebiasaan, apa yang dia faham tentang nikmat, mesti dia akan mengatakan bahawa nikmat itu adalah suatu yang seronok, enak, bahagia dan bermanfaat. Mungkin.
Bila ditanya, “Apa contoh nikmat yang anda tahu?.”
Mungkin mereka akan kata, dapat iphone, dapat kereta besar, dapat rumah besar, dapat isteri cantik menawan, dapat baby comel, dapat gaji lebih rm15k sebulan (join seminar Dr. Azizan lah tu.hehe), produk kecantikan terjual dengan laris sekali, dapat badan sado dan sebagainya.
Ya, betul!. Tidak ada salahnya dengan takrifan sebegitu. Cuma adakah itu sebenar-benarnya nikmat di sisi Tuhanmu?
Macam mana pula dengan orang yang dapat semua nikmat yang baru saja disebut sebentar tadi, tapi, hidupnya tidak tenang. Resah. Gelisah. Jiwa kacau. Stress.
Bagaimana pula?.
Adakah itu semua nikmat baginya?.
Semuanya dari Tuhanmu
Asal anda tahu, semua yang ada atas bumi dan langit ini adalah ciptaan Allah. Lalu, nikmat yang terlahir juga adalah dari Tuhanmu. Sekecil-kecil nikmat hinggalah sebesar-besar nikmat, itu semua dari Tuhanmu.
Tahu?.
Sangat benar firman Allah:
“Dan tidak ada kenikmatan yang ada pada kalian kecuali datangnya dari Allah” (An-Nahl:3)
Tapi ramai manusia yang jarang nak merasai nikmat yang mereka dapat itu sebenarnya dari Allah!. Yang banyaknya, bila dapat nikmat, terus lupa Allah.
Yang Maha Memberi Nikmat.
Adakah nikmat Allah yang begitu banyak ini tidak cukup mewujudkan izzah , rasa agung dan bangga kita kepada Allah?.
Tidak rasa kagum dan takjub kah kita dengan apa yang Allah dah kurniakan kepada kita manusia buat kesekian kalinya?.
Setakat mahu mengira keuntungan bisnes kita boleh lagi walaupun jualan kita meroket ke langit, tapi inshaa Allah, kita masih lagi mampu mengiranya.
“Kalau tak mampu?.”
Ya, masa itulah kita guna khidmat mesin pengira untuk mengira keuntungan kita. Kofkofkof.
Tapi,
Nikmat Allah ini gimana sih?(eh, indon lagi)
Ada siapa-siapa yang sudah pun cuba mengira nikmat Allah ini?.
Sudah lah. Jangan kamu membuang masa.
Kata Allah;
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, niscaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.” (Ibrahim: 34)
Nikmat pada penciptaanmu

Pada setiap minggu, satu malam.

Aku akan bersama sebahagian pemuda junior di dalam jilsah tafakkur. Duduk-duduk berfikir.

Satu malam itu,

Aku memulai cerita tentang bagaimana hebatnya Allah menciptakan kita. Pen dan buku nota bersedia. Menyalin apa yang boleh sebagai bekalan kemudian harinya.

Aku memulai halaqoh dengan membaca Surah Al-Mu’minuun ayat 14.

“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”

Aku memulai penceritaan, ada seorang sahabat yang namanya tidak asing lagi bagi kita, Saidina Umar Al-Khattab, bila lalu ayat ini, rasa takjub yang amat dia!.

Takjub yang lahir dari sudut hati yang paling dalam!.

Lalu ungkapan,

Fa Tabaarokallahu ahsanul khaaliqin (Maka, nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta)” terungkap dari mulut Saidina Umar yang mulia itu.

Rasa kagum dengan Tuhannya sendiri.

Kagum dengan nikmat Tuhan atas batang tubuhnya sendiri.”

Melihat pemuda junior tengah khusyuk salin apa yang aku ceritakan sebentar tadi.

Aku menyambung lagi ceritaku dengan bertanyakan kepada mereka satu soalan.

“Ikhwah sekalian, cuba kita sama-sama tengok ayat tadi. Allah sedang menceritakan tentang apa?.”

“Proses penciptaan manusia.” salah seorang mereka menjawab.

“ Benar!.

Lihatlah betapa bagaimana Allah detailkan proses penciptaan manusia.

Bermula dengan nuthfah(air mani), kemudiannya ‘alaqah(segumpal darah), kemudiannya mudghoh(seketul daging), kemudiannya ‘izhom(daging yang disaluti tulang-tulang) lalu kemudiannya tercipta lah manusia.

Yang lengkap sepenuhnya kejadian seorang manusia.

Subhanallah!.

Fa Tabaarokallahu ahsanul khaaliqin.

Masanya kita muhasabah

Cuba anda bayangkan, bagaimana hebatnya Allah mengatur kejadian kita?. Bagaimana Allah dengan kuasanya, mampu melekatkan ‘alaqah di dinding rahim seorang wanita (ibu kita)?.

Kita sendiri tidak ada daya dan kuasanya untuk melekatkan sesuatu yang diluar batasan kita. Kita mahu gumpalan darah itu melekat di dinding rahim wanita, agar zuriat terlahir. Tapi, kita tidak mampu pun.

Hanya Allah saja yang berkuasa atas itu semua.

Ternyata kita ini kerdil! T_T
Ternyata kita ini lemah! T_T
Ternyata kita ini hina! T_T

Di saat ini, adakah kita benar-benar berterima kasih atas Tuhan yang menjadikan nikmat ini lalu kita ini hidup dan lahir atas dunia ini dengan nikmatNYA?.

Cuba bayangkan lagi,

Ada pasangan yang diikat secara halal, lalu menginginkan zuriat, tapi tidak dikurniakan zuriat lagi. Sehingga kadang-kadang mengganggu emosi. Didepan nampak ceria, tapi dalam hati, hanya Tuhan yang tahu. Mendambakan seorang anak!.

Ada pasangan yang tidak diikat secara halal pun, tapi, anak itu lahir dari hasil zina mereka. Peroleh seorang anak. Anak tidak sah taraf.

Yang halal, inginkan anak, tapi tidak diizinkan lagi. Yang haram, tidak mahu anak, tapi, sudah terlanjur, nak buat macam mana. Astaghfirullah.

Lihat,

Mereka yang bernikah secara halal pun tidak mampu nak melahirkan zuriat walaupun pasangan itu subur. Tapi, mereka yang berzina pula yang dapat anak tanpa dipinta.

Itu semua seizin dariNYA.
Itu semua ujian dariNYA.

Buat yang inginkan zuriat, perbanyakkan istighfar. Perbanyakkanlah!.

Buat yang sudah biasa dengan jalan zina, bertaubatlah selagi nyawa dikandung badan.

Hayati nikmat penciptaanmu

Benarlah kata Ibnul Qayyim Al-Jauzi;

“Setiap kesempurnaan dan kebaikan yang ada pada makhluk, berasal dari kesempurnaan dan kebaikan Allah.”
Kita amat perlukan Allah.

Kita yakin lagi percaya bahawa segala nikmat yang ada dalam diri kita baik bagaimana kita diciptakan sehinggalah nikmat deria dan anggota yang Allah kurnia.

Itu semua atas sifat pemurahnya Allah.

Mari sama-sama hayati diri kita ini.

Timbulkan rasa takjub kepada Rabb, walau terkadang diri sering berdosa padaNYA.

Rasa insaf pada Tuhan yang menciptakan kita, walau diri sering saja melalaikanNYA.

Rasa ingin bergantung hidup padaNYA, walau diri seringkali terlupa bahawa adanya Allah.

Atas segala nikmat Tuhan ini;


Maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan?

muslimdaie90_KK 

Ulasan