:: Fahami Jalan Ini Dan Ahlinya ::

Li Ta'arafu


Hebatnya Allah!...

Mencipta manusia itu dengan pelbagai jenis, bangsa. Paling indah lagi menarik bila Allah ciptakan yang pelbagai itu dengan pelbagai peribadi. Itulah kuasa Allah yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa pun. Allah ciptakan semua ini bukanlah sia-sia. Ada tujuannya. Ada hikmahnya. Li Ta'arafu!...

" Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.(Al-Hujurat: 13)

 Hebatnya penekanan Allah dalam ayat ini. Allah jadikan lelaki, perempuan, bangsa, tujuannya untuk saling berkenalan antara satu sama yang lain. Lalu, Allah menekankan lagi, kemuliaan itu bukanlah terletak kepada anda jantina apa atau anda bangsa apa. Namun, kemuliaan itu hanyalah bagi sesiapa yang paling tinggi taqwanya kepada Allah...


Sejauh mana ta'aruf kita sesama muslim yang lain?. Sejauh mana ta'aruf kita sesama non-muslim yang lain?. Kadang-kala kita hanya berta'aruf dengan "geng-geng kita" saja, "geng surau", "geng tarbiyah". Terkadang kita terlupa bahawa Allah tidak menghadkan ta'aruf kita. Allah suruh kita ta'aruf dengan semua manusia...


Tarbiyah ini perlu ta'aruf

Anda ikut tarbiyah?...


Jangan menyangka tarbiyah tidak perlu ta'aruf. Jika tiada ta'aruf dalam mengikuti tarbiyah, bimbang juga kita tidak terkesan dengan tarbiyah itu...


Jangan mengharap hanya sekadar medium tarbiyah seperti halaqah usrah, daurah, mukhayyam, rehlah, riadhah dan lain-lain lagi untuk anda berta'aruf sesama anda. Tapi, itulah antara medium yang boleh membuatkan anda kenal sesama anda yang turut serta dalam tarbiyah. Janganlah hanya bila berprogram baru nak kenal sesama anda. Banyak waktu lain yang anda boleh manfaatkan untuk berta'aruf dengan lebih berkesan disitu...


Selain dari kita berta'aruf dengan manusia tadi, penting juga untuk kita untuk berta'aruf dengan tarbiyah!...


Macam mana tu?...


Dengan mengenali jalan tarbiyah ini!...


Jalan tarbiyah yang terkadang membosankan, menjenuhkan dan melemaskan. Jalan tarbiyah yang panjang. Jalan tarbiyah yang terasa jauh menuju matlamatnya. Jalan tarbiyah yang mengikat kita. Jalan tarbiyah yang terkadang mencuri masa hujung minggu kita. Jalan tarbiyah yang dipandang asing oleh sesetengah manusia yang jahil...


Inilah antara apa yang kita alami terutamanya buat yang baru nak berjinak-jinak dengan jalan yang mencabar ini. Mana tidaknya, jalan tarbiyah ini jalan proses. Proses yang panjang. Kena banyak bersabar!...


Kita WAJIB berkenalan dengan jalan tarbiyah ini. Berkenalanlah dengan berbekalkan kefahaman. Sekiranya kita tidak berkenalan dengan jalan ini, kita pasti terasa sangat berat, mudah 'down', mudah sangat bermain tarik-tali, hati mudah sangat rasa nak lari dari ikut jalan tarbiyah ini...


Kenalilah jalan ini. Anda akan dapati jalan ini walaupun dilihat sukar dan mencabar, tapi ingatlah bahawa anda akan bertemu kemanisan dihujung perjalanannya. Dan kemanisan itu anda mungkin tidak dapat menceritakannya dengan kata-kata. Dan inilah sebenarnya jalan Rasulullah dan para sahabat Baginda. Dengan sabarnya sahabat, Allah izinkan Islam itu bertebaran di seluruh dunia dan pernah gemilang!...


Murabbi + mutarabbi perlukan ta'aruf

Murabbi hanya manusia biasa. Mutarabbi juga manusia biasa. Jadi?...


Jadinya, murabbi dan mutarabbi ini bukanlah manusia yang berimankan dengan iman para malaikat. Iman malaikat itu sentiasa sama. Iman manusia pula ada turun naiknya. Masa naik itulah hati mula terasa mudah untuk beramal. Masa turun, hati mula terasa culas untuk beramal. Murabbi perlu kenal mutarabbinya. Mutarabbi perlu kenal murabbinya...


Perkenalan ini penting, penting dan penting!...


Supaya anda tidak kecewa dikemudian hari!...


Sudahkah anda merealisasikan tiga rukun usrah?. Taaruf, Tafahhum, Takaful. Mana mungkin kita memahami sahabat dalam tarbiyah selagi tidak berlakunya proses taaruf itu. Apatah lagi mahu membantunya. Jika datang seorang yang kita tidak kenal beliau datang meminta sedikit duit untuk membiayai pengajian anaknya, adakah mudah untuk kita memberinya?. Agak susah bukan?. Semuanya kerana kita tidak mengenali orang itu...


Ukhuwwah itu mencakupi 3T ini. Kata As-Syahid Imam Hasan Al-Banna tentang ukhuwwah,
" Keterikatan hati dan jiwa satu sama lain dengan ikatan akidah yakni Islam...

Murabbi perlu kenal mutarabbinya. Ukhuwwah yang mantap itu bermula dengan ta'aruf yang mantap!. Murabbi perlu tahu tahap kemampuan mutarabbinya. Perlu tahu latar belakang hidup mutarabbi itu. Perlu tahu apa yang mutarabbi perlukan!. Ini semua perlu kepada kebijaksanaan murabbi itu sendiri. Penilaian yang berterusan akan membantu murabbi untuk membaca mutarabbinya...


Mutarabbi pula janganlah ingat murabbi itu sesempurna manusia. Murabbi juga dalam proses belajar. Masih banyak kelemahan. Mutarabbi juga perlu tahu apa haknya dalam dakwah. Mutarabbi punya hak untuk mendapat kefahaman dari murabbinya. Kerana itulah tanggungjawab murabbi. Mutarabbi perlu banyak bersama dengan murabbi. Inshaa Allah, ia membantu mengukuhkan perjalanan mutarabbi itu atas jalan yang mencabar ini...


Fahamilah sesama anda wahai murabbi dan mutarabbi. Moga anda boleh meraikan antara satu sama lain!. Inshaa Allah, inilah antara amal kita untuk menuju syurgaNya...


Tarbiyah Best!

Seronok ikut tarbiyah!...


Anda perlu merasai tarbiyah ini!. Disana anda akan merasa indahnya mentadabbur Al-Quran bersama sahabat yang lain. Anda akan merasa kurang bebanan jiwa apabila anda bercurahan hati dengan sahabat yang lain. Anda akan merasai fikrah anda semakin kukuh dan anda makin istiqamah dan bertambah yakin untuk menempuh jalan yang panjang ini...


Inilah masanya untuk anda mencuba. Sertailah usrah di tempat anda. Usrah yang memberi kefahaman dan bukannya usrah yang mendoktrin. Pastikan usrah anda itu membawa anda kepada Allah dan membantu anda untuk melaksanakan tujuan hidup anda sebagai 'Abid dan Khalifah. Bukannya usrah yang agendanya ingin meramaikan ahli dalam jamaah mereka dan merendahkan kumpulan Islam yang lain...


Kerana usaha tarbiyah inilah, Islam suatu ketika dulu pernah gemilang tahap Ustaziyatul Alam!. Anda mampu mengulanginya...(^_^)
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran." (Surah al-'Ashr: 1-3). 
-Bertuahnya Kita-
muslimdaie90

Ulasan